Pages

Saturday, November 1, 2014

PON PON CINTAKU - Bab 2



PONNA Karisma Binti Parul Kim!” Panggil Cikgu Redo. Satu kelas tertawa mendengar namanya dipanggil. Ya, kerana nama itu dia sentiasa diejek. Dia sendiri tidak mengerti mengapa ayah memberinya nama begitu. Kata ayah nama itu bermaksud dalam bahasa india ‘sebuah pohon keajaiban’. Entahlah betul ke tak. Onna bangkit dan tunduk menuju ke tempat Cikgu Redo.

            “Diam semua. Jangan suka sangat mengejek orang”. Marah Cikgu Redo. Hilai tawa makin reda. Namun masih ada sedikit kedengaran di bahagian belakang dan pastinya dari kumpulan budak lelaki yang selalu mengejeknya. Onna lega Cikgu Redo membelanya. Dia tersenyum nipis.

            “Cikgu nak umumkan yang Ponna Karisma adalah pelajar yang mendapat keputusan terbaik untuk peperiksaan percubaan SPM baru-baru ni. Dia mendapat 8A 1B. Jadi cikgu nak kamu semua contohi dia. Usaha untuk dapatkan keputusan terbaik untuk peperiksaan SPM nanti.” Ucap Cikgu Redo. Onna rasa gembira bila Cikgu Redo menjadikan dia sebagai pelajar contoh dalam kelas. Namun pujian itu tidak membuatkan dia merasa bangga kerana masih jauh lagi perjalanan dan onak ranjau yang akan diharungi.

            “Karisma boleh balik ke tempat duduk ya. Kita akan sambung pelajaran kita”. Ucap Cikgu Redo. Hanya cikgu-cikgu saja memanggilnya ‘Karisma’. Macam pelakon Bollywood pulak. Karisma Kapoor!Ponna melangkah laju ke mejanya. Dia malas nak melihat wajah-wajah yang sering menjadikan dia bahan jenaka.

            “Pon..pon...pon..”Suara yang menyakitkan gegendang telinganya bergema lagi. Betapa panas hatinya. Namun dia cuba bersabar kerana rasa hormat pada Cikgu Redo. Dia hanya memekakkan telinga saja. Sanra di sebelahnya yang berusaha menggertak lelaki-lelaki di belakang mereka.

Pon...pon...ponnnn!Arghhh!!

            Onna meraup wajahnya mengingati kenangan di sekolah. Ada suka dan duka yang dilaluinya. Dia berharap semua itu akan segera berakhir apabila dia menyambung pelajaran di United Kingdom nanti. Insya Allah. Tak sabar rasanya nak menerima keputusan SPMnya nanti. Memang beginilah roda kehidupan. Bukan namanya pantai jika tak dilanda ombak, bukan juga namanya kehidupan jika tak dilanda badai dan dugaan. Semua itu bakal menjadikan kita lebih tabah dan matang dalam menjalani hidup.

            HARI yang dinanti-nantinya telah tiba. Akhirnya keputusan SPM akan diperolehinya. Entah berapa keputusannya nanti. Onna sudah sampai di hadapan sekolahnya. Sanra telah lama berada di sekolah. Ada getar di dadanya. Jantungnya berdebar-debar menuju ke pejabat sekolah. Di sana keputusan akan diserahkan nanti. Perlahan-lahan, Onna masuk ke dalam pejabat yang telah pun dipenuhi dengan para pelajar yang sibuk mengambil keputusan masing-masing.

            “Tahniah, Karisma!” Ucap Cikgu Redo dan beberapa orang guru yang turut mengajar kelasnya. Alhamdulillah! Itulah ucapan yang terpacul di bibir mungilnya. Wajahnya bersinar cahaya kegembiraan melihat keputusan 9A pada kertas kecil itu. Dia beredar dan meluru ke arah Sanra yang duduk di bangku hadapan bilik guru. Wajahnya kelihatan sedikit muram. Suasana sekolah begitu riuh dengan kehadiran para pelajar yang ingin mengambil keputusan SPM masing-masing.

            “Napa ni Ra?” Soal Onna sambil merapati Sanra. Bibir Sanra muncung. Lucu pulak dilihatnya.

   “Aku Cuma dapat 7A 2B je.”Jawab Sanra lesu. Onna tersenyum.

            “Okaylah tu. Banyak jugak A daripada langsung takda A kan. Kita ni kena bersyukur dengan apa yang kita dapat. Kau ni Ra. Aku ingatkan gagal ke apa tadi. Buat aku terkejutlah.” Onna menyentuh bahu Sanra. Bibirnya yang pula muncung sedepa. Sanra mula menguntum senyum. Dia angguk mungkin terfikir dengan kata-kata Onna.

            “Ponn...pon...ponnn...Ada kenderaan nak lalu”. Lelaki yang membuat dia menyampah hadir lagi. Wajah Ponna yang ceria tadi menjadi keruh. Lelaki tak guna ni lagi! Bisiknya geram. Onna mencebik.

            “Hai, ponn ponn..eh, silap. Ponna! Tahniah ya. Akhirnya kau berjaya juga jadi pelajar terbaik lagi. Lepas ni nak sambung di mana pulak?Mana tau boleh jumpa lagi..ha..ha..ha.”Lelaki itu tersengih dan terus tertawa terbahak-bahak. ‘Harap muka aje lawa tapi perangai macam syaitan. Tak abis-abis menganggu hidupku. Hina la puas-puas. Lepas ni kau takkan jumpa aku lagi!’ Bentak Ponna dalam hati. Dia mengetap bibirnya yang merah merekah.

            “Terima kasih aje lah, Qairaaz. Tak payahlah kau sibuk-sibuk nak tau aku nak sambung kat mana. Kalau kau ada pun hanya tau menyakitkan hati aje. Lepas ni aku harap tak jumpa kau lagi. Satu lagi, dari mana plak kau tahu keputusan aku ni, hah?” Marah Onna sambil berpeluk tubuh. Sengaja dia menekan nama lelaki yang digelar Qairaaz itu.Qairaaz masih tersengih. ‘Dia ni pekak ke apa?Macam nak makan penampar aje la jantan ni!Ponna menjerit dalam hati. Memandang lelaki itu saja membuatkan Ponna naik angin.

            “Adalah....okaylah...ponn..pon..ha..ha..ha..ha.”Jawab Qairaaz dan berlalu pergi dengan tawa yang memanjang. Onna mengenggam buku limanya dan ditumbuknya pada tapak tangannya. Geram betul dengan sikap lelaki yang tak pernah puas mengejeknya sejak mula dia berpindah ke situ dalam tingkatan 4. Sanra pun ikut menjeling tajam pada lelaki itu. Sedikit sebanyak dia juga benci dengan sikap Qairaaz yang suka menghina Ponna.

            “Dahlah, Onna! Tak payah layan sangat dia tu. Tak betul agaknya. Orang tak betul kalau dilayan makin menjadi-jadi. Nanti kita pula yang terikut-ikut senget.”Cebik Sanra jengkel dengan sikap Qairaaz. Onna memandang wajah Sanra. Wajahnya masih mendung. Malas dia hendak mengingati perbuatan lelaki gila tu. Buat dia turut gila juga.

            “Terima kasih, Sanra.” Ucapnya sambil tersenyum hambar. Sanra angguk. Onna memeluk bahu Sanra dan berjalan beriringan ke luar pagar sekolah.. Pelajar-pelajar yang mengunjungi sekolah silih berganti untuk mengambil keputusan SPM masing-masing.

            “Apa kata kita raikan kejayaan kita ni?”Cadang Sanra.

“Boleh juga tapi bukan hari ni ya. Ayah dan ibu nak bawa aku balik ke rumah Nek Oma hari ni. Ada jamuan dan bacaan doa selamat. Esok atau lusa ke macam tu, boleh?”Tawar Onna pula. Sanra angguk dan Onna pun menuju ke arah kereta yang dipandu oleh Pak Deris. Sanra membawa haluannya sendiri. Mungkin pemandunya juga menghantar tadi.